Wednesday, October 21, 2009

Bajet 2010 - Jangan terlalu berharap

Jangan terlalu berharap

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Meskipun lebih sejuta pembayar cukai pendapatan individu di negara ini sememangnya mengharapkan diberikan pengurangan bayaran dalam pembentangan Bajet 2010 Jumaat ini, harapan itu mungkin tinggal harapan.

Bersandarkan situasi ekonomi semasa yang masih tidak menentu, idea dan langkah menurunkan cukai pendapatan bukanlah langkah bijak.

Menurut Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Datuk Dr. Zainal Aznam Yusof, pengurangan itu akan hanya mengurangkan pendapatan negara, sekali gus memberi kesan negatif kepada proses pemulihan negara selepas krisis ekonomi global.

''Rakyat sepatutnya perlu diberi gambaran yang jelas kerana apabila kita bercakap mengenai pengurangan cukai pendapatan individu, ia membabitkan pendapatan negara.

''Malaysia diunjurkan bakal berhadapan dengan defisit bajet yang tinggi iaitu 7.6 peratus, tertinggi di ASEAN dan Asia.

''Jadi, saya berpendapat kerajaan perlu menghalusi dan mengkaji sekiranya ia mahu dilaksanakan,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas Persidangan Persekutuan Insurans dan Insurans Semula AFRO-Asia (FAIR) di sini hari ini.

Beliau yang berpendapat cadangan tersebut sukar dilaksanakan kerana kerajaan memerlukan wang untuk proses pemulihan akibat krisis kewangan global.

Katanya, jika semuanya dikurangkan apakah yang lagi tinggal untuk dibelanjakan bagi kos operasi dan pembangunan negara.

Bagaimanapun, pakar ekonomi itu tidak menolak pengurangan cukai individu mungkin boleh dilakukan sekiranya kerajaan berupaya menambah nilai cukai-cukai lain sebagai penggantinya.

Dr. Zainal Aznam menegaskan, kerajaan tidak boleh lagi terlalu bergantung kepada sumber pendapatan daripada Petronas termasuk cukai produk petroleum dan dividen daripada firma minyak itu.

''Rakyat perlu sedar pada masa yang sama Petronas terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi penerokaan baru, lagi dalam penerokaannya (mencari minyak) lagi tinggi kos yang perlu ditanggungnya.

Dr. Zainal Aznam berkata, sudah sampai masanya kerajaan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) atau cukai-cukai nilai tambah (VAT), yang dijangka bakal menjadi cadangan populis pada Bajet 2010 kerana ia memberi faedah yang lebih kepada golongan berpendapatan rendah.

Katanya: ''Kerajaan sewajarnya membina platform bagi pelaksanaan GST supaya ia akan memudahkan apabila sistem tersebut berjalan.

''Yang penting ialah berapa tinggi atau rendah kadar cukai yang akan dikenakan, itu sebenarnya yang ditunggu oleh rakyat, jelas beliau.

''Saya yakin sekiranya kerajaan berani memperkenalkan GST dan VAT, tindakan itu membantu meringankan beban hidup golongan kumpulan pertengahan rendah dan rendah memandangkan Malaysia masih dalam kemelesetan ekonomi.

''Walaupun kita telah berada di paras kemelesetan tetapi untuk ekonomi berada di landasan sebenar ia bukan sesuatu yang boleh berlaku dalam sekelip mata.

''Sebab itu, rakyat masih perlu bergantung kepada pelaksanaan polisi fiskal oleh kerajaan untuk memberi sokongan kepada kumpulan berpendapatan rendah,'' ujar beliau.

Ditanya apakah bentuk 'goodies' yang bakal diumumkan kerajaan pada Bajet 2010 Jumaat ini, Dr. Zainal Aznam berpendapat, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pasti akan mengutamakan golongan berpendapatan rendah.

''Kemelesetan ekonomi menyebabkan pendapatan dan lebihan tunai golongan ini sangat terjejas dan Bajet 2010 akan memberi kelegaan,'' tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak Bajet 2010 bakal memberi cabaran kerana kerajaan dijangka mengumumkan penstrukturan semula subsidi untuk memastikan ia dimanfaat sepenuhnya kepada golongan sasar.

''Subsidi-subsidi kerajaan sekarang memberi faedah kepada semua...termasuk golongan yang tidak memerlukan.

''Saya percaya Bajet 2010 akan mencatatkan perubahan. Subsidi perlu diberi kepada mereka yang sepatutnya dan inilah cabaran kepada kerajaan untuk melaksanakannya,'' jelas beliau.

Petikan: Utusan Malaysia 21 Oct 2009

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

Kewangan Peribadi ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO