Tuesday, October 13, 2009

7 Kesilapan lazim pengurusan wang

“Saya sudah 20tahun bekerja, tetapi sehingga kini wang simpanan hanya sedikit menyebabkan saya tertanya-tanya kemanakah perginya wang saya?” Kata Eksekutif wanita sebuah syarikat dikenali sebagai Liza (bukan nama sebenar).


Pernahkah anda mendengar atau mengeluh seperti itu dan jika bertanya disekeliling, besar kemungkinan anda akan berjumpa sekurang-kurangnya seorang seperti liza.

Jika anda bercadang mengukuhkan kedudukan kewangan, anda mesti mengenal pasti kesilapan lazim dilakukan agar anda dapat mempelajari daripadanya.


Kesilapan 1: Gagal merancang

Kesilapan 2: Berbelanja melebihi kemampuan

Kesilapan 3: Berbelanja menggunakan kad kredit

Kesilapan 4: Tidak menabung untuk waktu kecemasan

Kesilapan 5: Lewat menabung untuk hari tua (hari pesaraan)

Kesilapan 6: Terlampau memikirkan pasal wang

Kesilapan 7: Melabur dalam produk tidak bersesuaian


Kesilapan 1: Gagal merancang


Jika bertanya kepada orang ramai disekeliling,pasti ramai diantara kita tidak merancang kewangan dan alasan selalu diberikan sibuk dengan kerja dan keluarga. Sikap tidak mengambil berat itu akan menjejaskan kedudukan kewangan anda, contohnya, anda akan selalu membayar cukai tinggi, membiarkan pelaburan tidak berkembang dalam tempoh lama atau tidak bijak memilih produk pelaburan dan kewangan yang sesuai.Bebanan kerja yang banyak tidak juga dinafikan sebagai penyebab ramai tidak memberi keutamaan kepada pengurusan wang, sebaliknya membiarkan keadaan menjadi penentu. Sebenarnya, walaupun anda tergolong dalam golongan berpendapatan sederhana, tabiat merancang kewangan akan membolehkan kita menjadi seorang yang berjaya mengumpul kekayaan.


Kesilapan 2: Berbelanja melebihi kemampuan


Ramai bebelanja melebihi kemampuan akibat desakan rakan dan pengaruh iklan yang mempromosikan gaya hidup mewah seperti telepon bimbit model terkini, kereta mewah dan juga fesyen terbaru yang mendorong kita berbelanja diluar kemampuan sendiri.Apatah lagi ramai yang sanggup menghabiskan duit semata-mata untuk mengikut peredaran masa dan tidak mahu dianggap ketinggalan zaman. Akibatnya, ramai mempunyai baki amat sedikit dalam akaun bank pada penghujung bulan selepas ditolak pinjaman rumah dan kereta, bayaran kad kredit,bil dan sebagainya.


Kesilapan 3: Berbelanja menggunakan kad kredit


Tabiat beli dulu bayar kemudian sudah menjadi kebiasaan sekarang dan hampir setiap orang mempunyai sekurang-kurang satu kad kredit, malah ramai yang memiliki lebih daripada satu kad. Walaupun kad kredit merupakan satu kemudahan, tetapi ramai tersilap dalam penggunaanya dan menganggap ia alat untuk kita berbelanja lebih, tambahan pula dengan bayaran minimum setiap bulan. Mereka tersalah anggap mengenai bayaran minimum itu, tidak menyedari ia akan menjadi hutang mengunung dan jika ia tersilap langkah mustahil anda boleh muflis. Ia realiti kerana mengikut laporan kemuflisan kebelakangan ini meningkat, terutama sekali golongan muda dan sehubungan itu, pastikan anda menggunakan kad kredit secara berhemat. Dengan membuat bayaran dengan kadar minimum setiap bulan, anda boleh terus berbelanja, tetapi anda harus ingat bahawa ia akan menyebabkan anda mengalami kerugian besar di kemudian hari.


Kesilapan 4: Tidak menabung untuk waktu kecemasan


Menabung untuk wang kecemasan amat wajar untuk setiap orang ini membantu kita disaat genting yang memerlukan tunai di tangan dengan banyak. Amalkan penyimpan 10% atau lebih dari wang gaji anda bergantung kepada kemampuan anda.Sesetengah orang beranggapan membeli insurans hanya membazir wang. Tetapi tanpa kita sedari insurans dapat mendisplinkan untuk menyimpan. Tahukah anda tanpa insurans, kedudukan kewangan kita akan tergugat terutama sekali jika kita hilang pendapatan atau pekerjaan. Keadaan akan menjadi lebih malang jika orang yang hilang pendapatan itu adalah ketua keluarga atau pencari nafkah dalam keluarga. Tanpa insurans atau wang simpanan, seluruh keluarga akan merana dan ketika itu juga sudah terlambat untuk memikirkan bagaimana ingin mencari sumber pendapatan lain dengan segera.


Kesilapan 5: Lewat menabung untuk hari tua (hari pesaraan)


Ramai yang ingin bersara awal,tetapi bagi memulakan persaraan kita mesti memastikan mempunyai wang simpanan yang mencukupi untuk menampung kehidupan selepas bersara. Namun, masih ramai terutamanya yang hampir bersara masih bergelut mencapai jumlah simpanan diperlukan. Sepatutnya, setiap kali gaji naik (increment salary) simpanan kita turut naik. Namun, apa yang berlaku sebaliknya iaitu setiap gaji naik, perbelanjaan kita juga turut bertambah kerana memenuhi kehendak diri kepada tidak sepatutnya seperti ubahsuai rumah dan membeli kereta baru.Perbelanjaan seperti itu, menyebabkan kita sukar menabung untuk persediaan hari tua.


Kesilapan 6: Terlampau memikirkan pasal wang


Dalam usaha memupuk tabiat menyimpan, jangan terlampau taksub mengumpul kekayaan sehingga lupa perkara lain dalam hidup seperti keluarga, kesihatan, kepuasan berkarier serta rakan-rakan. Tanpanya, hidup tidak akan memberi makna@ kepuasan walaupun mempunyai wang jutaan ringgit.


Kesilapan 7: Melabur dalam produk tidak bersesuaian


Ada pelbagai produk pelaburan di pasaran dan bagi memastikan kita melabur dalam produk pelaburan menepati profil risiko dan ganjaran diinginkan, kita memerlukan pengetahuan mengenai pelaburan. Jangan terlalu bergantung kepada penasihat kewangan atau broker anda semata-mata kerana ada antara mereka mempunyai agenda tersendiri. Ada penasihat kewangan tidak bertanggungjawab dan tidak memberikan maklumat yang tepat dan hanya memikirkan cara untuk meningkatkan komisyen jualan mereka sahaja. Jadi pastikan anda meneliti cirri-ciri sesuatu produk pelaburan dan mengkaji kumpulan pengurusannya sebelum melabur.


Sebagai kesimpulan, kita perlu sentiasa mengingatkan diri kepentingan merancang kewangan. Jika kita tidak bersungguh-sungguh membina kekayaan dan menguruskan kewangan, besar kemungkinan kekayaan tidak akan berpihak kepada kita.


Petikan sumber asal daripada : Harian Metro 10hb Oct 2009

Website: www.sidc.com.my

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

Kewangan Peribadi ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO