Get Paid To Promote, Get Paid To Popup, Get Paid Display Banner

Tuesday, October 27, 2009

Bajet 2010 faedahnya menyeluruh

  • BAJET 2010 sudah dibentangkan. Seperti biasa bukan semua orang puas hati. Sudah tiada apa hendak dibangkang, bayaran RM50 untuk kad kredit pun jadi hal. Kalau kita lihat gaya bank mempromosikan kad kredit mereka, sampai buka gerai di pusat-pusat membeli-belah di merata tempat dan di stesen minyak.
  • Ertinya begitu agresif menyuruh rakyat negara ini hidup dengan kredit. Maka ramailah yang berhutang sehingga tak terbayar dan ramai jugalah yang menyumbang kepada institusi kad kredit ini dengan kadar faedah lebih kurang 18 peratus setahun.Kehidupan gaya kredit inilah yang membuatkan Amerika Syarikat mengalami krisis ekonomi yang teruk mulai 2008 dahulu. Amalan berhutang ini lebih banyak buruknya daripada baik kecuali dalam keadaan kecemasan atau terdesak misalnya hospital tidak mahu merawat kes kecemasan waris kita kalau tidak dibayarkan cengkeram. Maklumlah sekarang ini kalau hendakkan rawatan di hospital swasta dalam kes kecemasan sekalipun kena bayar cengkeram dulu.
  • Melihat daripada apa yang dibentangkan rasanya bajet kali ini memberi manfaat yang merangkumi pelbagai lapisan masyarakat daripada petani dan nelayan kepada mereka yang makan gaji.Rasanya melihat harga rumah yang melambung tinggi yang tidak sepadan dengan pendapatan masyarakat ada baiknya Cukai Keuntungan Hartanah bukan saja patut dikenakan 5 peratus tetapi patut lebih tinggi supaya mereka yang melakukan spekulasi hartanah ini dapat dibendung.
  • Sememangnya pasaran hartanah wajar rancak tetapi biarlah dalam keadaan sihat dan bukan dengan kenaikan harga yang bukan-bukan. Perkara yang membuatkan harga rumah dua tingkat berkembar misalnya sampai RM500 ribu ialah spekulasi yang menjadi-jadi sehinggakan mereka yang betul-betul berhajat untuk memiliki rumah jenis tersebut tidak tercapai.
  • Kalau dibanding dengan kadar pendapatan golongan pertengahan memang tidak setimpal. Alasan pemaju ialah kuasa pasaran. Mereka yang buat untung banyak dengan spekulasi hartanah ini mampu membayar cukai keuntungan yang tinggi.
  • Semasa perbincangan tentang bajet ini di dalam program Astro melalui saluran Bloomberg Jumaat lepas, timbul perkara berkaitan dengan pinjaman pendidikan tinggi ditukar kepada biasiswa bagi mereka yang memperolehi Kepujian Kelas Pertama.
  • Pandangan daripada ahli panel yang pernah berkhidmat dengan Kementerian Pengajian Tinggi ialah galakan ini pernah diberikan tetapi diberhentikan kerana ada IPTS yang menyalahgunakan keistimewaan ini apabila pemberian Kelas Pertama Kepujian ini secara begitu mewah.
  • Maklum balas daripada seorang pensyarah bidang arkitek disalah sebuah IPTS yang suka berpublisiti ialah apabila dia hendak memberikan pangkat gagal kepada pelajar kelasnya dia diberitahu oleh orang atasan institusi tersebut, “di sini kita tidak ada pelajar yang gagal.”Tidak hairanlah kalau Datuk Izat Emir, Presiden Perdasama merungut selepas mengambil tiga orang siswazah daripada IPTS tersebut bekerja dengan syarikatnya didapati mereka tidak boleh buat kerja langsung.
  • Kalaulah amalan meluluskan pelajar yang patut gagal berlaku di sesetengah institusi pengajian tinggi ini sama ada yang di sektor awam atau swasta semata-mata kononnya untuk menunjukkan rekod pencapaian yang hebat, nescaya kita akan menjadi bahan ketawa apabila lulusan daripada institusi-institusi tersebut tidak mampu melakukan kerja yang diberikan kepada mereka.Janganlah modal insan yang diharapkan daripada pelaburan yang begitu besar untuk pendidikan setiap tahun tidak mampu berdaya saing dalam keadaan dunia yang sentiasa berubah dan tidak menentu ini.
  • Bajet kali ini merupakan asas kepada Rancangan Malaysia Kesepuluh yang bakal berlatarbelakangkan model ekonomi baru. Kita melihat dalam bajet kali ini peruntukan sebanyak RM200 juta untuk industri kreatif yang meliputi pembiayaan penghasilan drama dan filem, muzik, animasi, pengiklanan, pengeluaran bahan tempatan.Dana ini akan diuruskan oleh Bank Simpanan Nasional. Ke arah ini suatu dasar industri kreatif akan digubal untuk kemajuan industri kreatif. Kegiatan innovative pula merangkumi kesemua jabatan dalam kerajaan yang bertujuan memudahkan lagi sistem penyampaian awam, baik untuk rakyat mahupun untuk sektor korporat seperti yang telah dilaksanakan di Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Syarikat, Jabatan Pengangkutan Jalan.
  • Dalam suasana penurunan pendapatan kerajaan, bajet kali ini masih lagi memberikan pelepasan cukai kepada rakyat. Pelepasan diri bertambah seribu ringgit dan pelepasan daripada bayaran insurans dan KWSP dinaikkan juga sebanyak seribu. Cukai individu juga diturunkan daripada 27 peratus kepada 26 peratus. Semoga lebihan ini dapat dibelanjakan untuk menjana pertumbuhan ekonomi.
  • Subsidi utama yang selama hari ini dinikmati juga oleh orang asing ialah subsidi minyak. Ini akan dapat diatasi dengan penguatkuasaan pembelian dengan penggunaan bersyaratkan MyKad pada masa akan datang.
  • Pembentangan bajet ini telah didahului oleh Laporan Ketua Audit Negara. Banyak perkara yang mengejutkan berkaitan pembaziran dan penyalahgunaan wang kerajaan terdapat dalam laporan tersebut. Perdana Menteri telah melahirkan rasa kecewa beliau dengan penyalahgunaan ini dan mahukan tindakan diambil atas mereka yang didapati bersalah.Apa yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara adalah berdasarkan contoh rambang perbelanjaan wang kerajaan. Kalaulah diteliti setiap perbelanjaan mungkin kita akan dikejutkan dengan penyalahgunaan yang lebih meluas.
  • Kita sedar bukan semua penyelewengan yang dilaporkan dalam laporan Ketua Audit Negara yang lepas-lepas diambil tindakan dan kita berharap dengan adanya iltizam baru daripada kerajaan, mereka yang bersalah dapat diambil tindakan. Banyak mana peruntukan sekalipun tidak akan cukup sekiranya kebocoran dan penyelewengan ini berleluasa.

ucapan:
DATO’ SALLEH MAJID ialah bekas Presiden

sumber petikan: utusan malaysia 26 Oct 2009
Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

Kewangan Peribadi ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO