Get Paid To Promote, Get Paid To Popup, Get Paid Display Banner

Tuesday, June 18, 2013

10j pencarum KWSP tiada penama

KUALA LUMPUR 17 Jun - Lebih 10 juta daripada 13.69 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di negara ini gagal menamakan penama akaun mereka sekali gus mengundang masalah kepada proses pengeluaran caruman apabila berlaku kematian.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, setakat ini hanya 3.51 juta pencarum mempunyai penama berbanding jumlah pencarum aktif kini iaitu 6.44 juta.

Sehubungan itu, beliau menyeru pencarum yang belum lagi menamakan penama agar segera berbuat demikian bagi memudahkan kaum keluarga melaksanakan urusan pengeluaran caruman jika berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada mereka.

"Antara sebab pencarum tidak meletakkan penama mereka mungkin kerana mula-mula mencarum, mereka belum berkahwin, itu antara sebabnya.

"Kadang-kadang mereka tidak fikir apa yang akan berlaku kepada diri mereka. Kemalangan tidak berbau, kita tidak akan menyangka kita boleh meninggal pada waktunya," kata beliau kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi di KWSP di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, meskipun KWSP masih belum mewajibkan penamaan tersebut tetapi untuk kebaikan, kemungkinan pihaknya akan menolak borang permohonan caruman pemohon yang tiada penama pada masa akan datang.

Katanya, buat masa ini, mereka boleh menamakan penama masing-masing melalui borang penamaan yang terdapat di semua 60 kaunter KWSP seluruh negara atau melawat laman web MyEPF di http://www.kwsp.gov.my untuk keterangan lanjut.

"Saya juga difahamkan, KWSP akan melancarkan kempen tertentu untuk memastikan semua pencarum mempunyai penama agar ia tidak menyusahkan urusan pengeluaran apabila berlaku sesuatu kepada diri kita," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad menjelaskan, jumlah aset pelaburan KWSP yang melepasi setengah trilion ringgit iaitu berjumlah RM576.55 bilion kini telah menjadikan Malaysia sebagai negara yang memiliki tabung persaraan keenam terbesar di dunia.

"Kita merupakan tabung persaraan nombor keenam terbesar di dunia iaitu selepas Jepun, Norway, Korea Selatan, Singapura dan Kanada," ujarnya.

Sementara itu, jelas beliau, KWSP akan melancarkan inisiatif baharu yang akan dilaksanakan pada Julai 2013 iaitu e-pengeluaran yang kini dalam proses penyiapan.

Tambahnya, e-pengeluaran merupakan kemudahan bagi urusan permohonan pengeluaran yang mana pencarum boleh mengeluarkan caruman secara dalam talian mengikut had pengeluaran masing-masing.
"Kemudahan ini akan memudahkan pelbagai urusan seperti menyelesaikan baki pinjaman, ansuran bulanan pinjaman perumahan dan dari semasa ke semasa akan menambah jenis-jenis pengeluaran yang lain," kata beliau.


petikan : utusan malaysia

P/S : anda bolehlah mendaftar di kaunter KWSP berhampiran dengan anda. Ia penting bagi pewaris @ keluarga kita mendapat hak sepatutnya.

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

Kewangan Peribadi ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO