Skim Prihatin Pendidikan 1Malaysia (SPP1M)
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Skim
Prihatin Pendidikan 1Malaysia (SPP1M) untuk membantu pelajar-pelajar
peringkat pengajian tinggi mendapat kemudahan pinjaman kewangan
tambahan.
Perdana Menteri berkata kerajaan menyediakan peruntukan besar dalam
bentuk pinjaman mahupun biasisiwa, memandangkan kos pendidikan tinggi
semakin meningkat sekaligus memberi tekanan kepada ibu bapa terutamanya
yang membiayai pendidikan anak secara persendirian.
"Menyedari keperluan itu kerajaan memperkenalkan SPP1M sebagai dana
tambahan dengan jumlah pinjaman dihadkan RM150,000 untuk bidang
kepakaran perubatan dan RM100,000 bagi bidang khusus kritikal dan
terpilih," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran skim tersebut
di sini hari ini.
SPP1M bertindak sebagai pinjaman tambahan kepada dana atau pinjaman
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional sedia ada untuk pelajar
yang sedang mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dan
sarjana dalam bidang tertentu.
Pelaksanaan SPP1M akan diadakan dalam dua peringkat iaitu suku kedua
tahun 2013 untuk kemasukan ke universiti tempatan dan Jun 2013 untuk
program berkembar dan program luar negara.
Najib menjelaskan, melalui cara itu membolehkan ramai lagi pelajar
berpeluang meneruskan pengajian dan mungkin kepada yang sebelum ini
tidak mampu belajar di luar negara boleh berbuat demikian.
"Sebanyak dua buah bank akan menawarkan pinjaman iaitu Maybank dan RHB
Bank dengan kadar faedah yang dikenakan kepada peminjam adalah lebih
rendah berbanding biasa," katanya.
Najib berkata cara itu adalah sesuatu yang unik dan belum pernah
dilakukan kerajaan sebelum ini dan beliau menaruh keyakinan skim
tersebut dapat memberi faedah kepada rakyat dalam kalangan pertengahan.
"Ia juga dapat menambahkan lagi bilangan pelajar menyambung pengajian di universiti terkemuka di luar negara," katanya.
SPP1M yang dikendalikan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB)
menawarkan tempoh pinjaman selama 20 tahun (15 tahun pembayaran balik),
faedah semasa tempoh pengajian dipermodalkan dan pembayaran balik
bermula enam bulan selepas tamat pengajian atau akhir pengajian.
Bagi tujuan itu, jumlah jaminan kerajaan ialah RM500 juta merangkumi
peratusan jaminan sebanyak sepuluh peratus daripada jumlah dana SPP1M
yang berjumlah RM5 bilion.
SPP1M ditawarkan kepada institusi pengajian tinggi tempatan seperti yang
disenaraikan dalam sistem penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia
2011 (SETARA 2011) oleh Agensi Kelayakan Malaysia dan berdaftar dengan
YPPB.
Senarai pengajian pula adalah berdasarkan National Education Code yang
akan disediakan di dalam laman sesawang www.penerajuedu.com dalam masa
terdekat.
Pada 2011, terdapat 943,548 pelajar melanjutkan pengajian di institusi
pengajian tinggi (IPT) di negara ini dan daripada jumlah itu 508,256
melanjutkan pengajian di IPT awam, 482,973 di IPT swasta dan 6,319 di
kolej komuniti.
Pelajar yang menyambung pengajian ke institusi luar negara pula
berjumlah 89,686 di mana 27,003 pelajar di bawah tajaan kerajaan,
korporat, serta agensi lain sementara 62,683 atas tajaan sendiri.
Sumber: http://www.bernama.com/
www.penerajuedu.com
Post a Comment