10j pencarum KWSP tiada penama
KUALA LUMPUR 17 Jun - Lebih 10 juta daripada
13.69 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di negara ini
gagal menamakan penama akaun mereka sekali gus mengundang masalah kepada
proses pengeluaran caruman apabila berlaku kematian.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, setakat ini
hanya 3.51 juta pencarum mempunyai penama berbanding jumlah pencarum
aktif kini iaitu 6.44 juta.
Sehubungan itu, beliau menyeru pencarum yang belum lagi menamakan
penama agar segera berbuat demikian bagi memudahkan kaum keluarga
melaksanakan urusan pengeluaran caruman jika berlaku sesuatu yang tidak
diingini kepada mereka.
"Antara sebab pencarum tidak meletakkan penama mereka mungkin kerana
mula-mula mencarum, mereka belum berkahwin, itu antara sebabnya.
"Kadang-kadang mereka tidak fikir apa yang akan berlaku kepada diri
mereka. Kemalangan tidak berbau, kita tidak akan menyangka kita boleh
meninggal pada waktunya," kata beliau kepada pemberita selepas melakukan
lawatan rasmi di KWSP di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, meskipun KWSP masih belum mewajibkan
penamaan tersebut tetapi untuk kebaikan, kemungkinan pihaknya akan
menolak borang permohonan caruman pemohon yang tiada penama pada masa
akan datang.
Katanya, buat masa ini, mereka boleh menamakan penama masing-masing
melalui borang penamaan yang terdapat di semua 60 kaunter KWSP seluruh
negara atau melawat laman web MyEPF di http://www.kwsp.gov.my untuk keterangan lanjut.
"Saya juga difahamkan, KWSP akan melancarkan kempen tertentu untuk
memastikan semua pencarum mempunyai penama agar ia tidak menyusahkan
urusan pengeluaran apabila berlaku sesuatu kepada diri kita," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad menjelaskan, jumlah aset pelaburan KWSP yang
melepasi setengah trilion ringgit iaitu berjumlah RM576.55 bilion kini
telah menjadikan Malaysia sebagai negara yang memiliki tabung persaraan
keenam terbesar di dunia.
"Kita merupakan tabung persaraan nombor keenam terbesar di dunia
iaitu selepas Jepun, Norway, Korea Selatan, Singapura dan Kanada,"
ujarnya.
Sementara itu, jelas beliau, KWSP akan melancarkan inisiatif baharu
yang akan dilaksanakan pada Julai 2013 iaitu e-pengeluaran yang kini
dalam proses penyiapan.
Tambahnya, e-pengeluaran merupakan kemudahan bagi urusan permohonan
pengeluaran yang mana pencarum boleh mengeluarkan caruman secara dalam
talian mengikut had pengeluaran masing-masing.
"Kemudahan ini akan memudahkan pelbagai urusan seperti menyelesaikan
baki pinjaman, ansuran bulanan pinjaman perumahan dan dari semasa ke
semasa akan menambah jenis-jenis pengeluaran yang lain," kata beliau.
Post a Comment