Harga Proton Saga SV lebih murah
Saga SV dijual pada harga serendah RM33,438 untuk jenis manual dan
RM36,438 untuk automatik, penurunan sebanyak hampir RM5,000 hasil
perancangan penstrukturan vendor dan menyokong usaha kerajaan dalam
menawarkan kereta mampu milik kepada rakyat.
Kereta berkenaan dilengkapi kerangka lebih kukuh dengan pengiktirafan
tiga bintang daripada ASEAN NCAP, stereng elektrik, empat tingkap
elektrik, dua beg udara, cermin sisi dengan lampu LED, tali pinggang
keledar dengan sistem pratekanan, ciri-ciri keselamatan kanak-kanak dan
kunci immobiliser.
Pengguna boleh memiliki kereta rakyat itu dengan ansuran bulanan
serendah RM250 dengan sasaran penghantaran sebelum musim perayaan jika
membuat tempahan awal bermula hari ini.
Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil berkata,
pelancaran kereta mampu milik itu merupakan langkah berterusan syarikat
kereta nasional tersebut menawarkan kereta berbaloi tanpa berkompromi
dalam aspek kualiti.
"Kami tidak mengurangkan spesifikasi Saga untuk mengurangkan harganya,
tetapi kami menggunakan pendekatan sendiri untuk merealisasikan
penawaran harga rendah bagi memenuhi hasrat kerajaan.
"Proton menyasarkan menjual sebanyak 2,000 buah Saga SV sebulan dalam
usaha mencapai sasaran menjual kira-kira 80,000 buah model Saga tahun
ini sekali gus mencapai penguasaan pasaran sebanyak 30 peratus untuk
segmen B," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran kereta berkenaan di sini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Lukman Ibrahim.
Saga SV didatangkan dalam enam warna pilihan iaitu putih, perang, hitam,
perak, merah dan biru dengan jaminan selama tiga tahun atau 100,000
kilometer perbatuan manakala servis pertama bagi model tersebut kurang
daripada RM100.
Mengulas cadangan menyelaraskan harga kereta untuk pasaran Sabah dan
Sarawak, beliau berkata, perkara itu sedang dikaji namun seperti yang
diketahui umum kos logistik merupakan faktor utama perbezaan harga
tersebut.
"Tetapi kami akan mengusahakannya sama ada menyerap kos berkenaan atau menerusi cara lain," katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Khamil berkata, pengurangan harga tersebut tidak
akan menjejaskan prestasi kewangan Proton malah akan menambah perolehan
syarikat berkenaan melalui pertambahan jualan serta keuntungan.
Sementara itu, ditanya sama ada penurunan harga itu hasil usaha Proton
sendiri atau kerajaan, Lukman berkata, perkara tersebut adalah usaha
bersama antara kedua-dua pihak.
"Proton menyokong hasrat kerajaan menurunkan harga kereta antara 20
hingga 30 peratus secara berperingkat dan Saga SV adalah hasil yang
berjaya dilaksana Proton," katanya.
Beliau menambah, pendekatan dan strategi yang digunakan sehingga mampu
mengurangkan harga Saga itu akan diguna pakai kepada model lain selepas
ini.
Sumber: http://www.utusan.com.my
Post a Comment