25 Tips Raikan Syawal Menurut Islam
Salam Aidilfitri buat anda semua. Hari ini admin berkongsi 25 Tips Raikan Syawal Menurut Islam.
Malam Aidil Fitri
1. Banyakkan bertakbir.
Mulakan
selepas salam pada solat Maghrib dikuti dengan bertahmid, bertasbih
Takbir boleh dilakukan sama ada secara berjemaah atau bersendirian, di
masjid, surau atau di rumah bersama-sama keluarga. Pada zaman Rasulullah
SAW takbir itu dikumandangkan sehingga ke jalan-jalan, rumah-rumah dan
masjid.
2. Berdoa dan berbuat kebaikan pada malam raya.
Imam Syafie
berkata doa itu mustajab pada lima malam berikut iaitu Malam Jumaat,
malam Hari Raya Aidilfitri, Malam Hari Raya Haji, Malam Awal Bulan Rejab
dan Malam Nisfu Syaaban.
3. Berqiamulail.
Kalau tak
berqiam pun (ada pandangan yang menolak disebabkan hadis di bawah, hadis
daif) sekurang-kurangnya jangan terlupa langsung solat sunat qabliah
ba’diah, Lebih teruk lagi tak solat langsung dah disebabkan bakar lemang
atau masak ketupat. Niat nak buat maksiat serta berhibur dengan
pelbagai program yang melalaikan hingga ke pagi, batalkanlah. Rasulullah
SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan
Aidiladha, hatinya tidak mati pada ketika hati mereka yang lain mati.”
Siang Aidil Fitri
4. Jangan berpuasa pada siang 1 Syawal kerana hari itu, Allah haramkan kita berpuasa.
5. Jangan kongsi raya dan jangan menganggap Aidilfitri sama dengan perayaan-perayaan lain.
6. Kemaskanlah diri.
Gunting-guntinglah
rambut yang nampak dan yang ‘tak nampak’. Bersihkanlah daki-daki badan
termasuk anggota badan lain seperti kuku kaki dan tangan.
7. Disunatkan mandi pagi.
Hal ini
dijelaskan dalam hadis Ibnu Umar dalam kitab al-Muwatta’, bahawa
Rasulullah SAW mandi pada pagi Aidilfitri sebelum Baginda bergerak ke
masjid.
8. Sunat
memakai pakaian yang terbaik dan tercantik, walaupun tak baru. Imam
Baihaqi ada menyebutkan bahawa Ibnu Umar menjelaskan bahawa baginda
Rasulullah SAW mengenakan pakaian yang terbaik dan tercantik bagi
meraikan kedua-dua hari kebesaran Islam; Aidilfitri dan Aidiladha.
9. Kalau mampu, pakailah pakaian yang baru beli.
Jangan simpan baju raya untuk bawa berjalan ke rumah orang atau mengorat anak dara/teruna orang. Sunat bawa ke masjid.
10. Sunat mengenakan haruman (tidak kepada wanita).
Kalau yang
kalut tu. Pagi-pagi raya dok cuci kereta, basuh motor atau bakar lemang
lagi, elok taruk banyak-banyak sikit minyak wangi atau mandi sekali
lagi.
11. Makan terlebih dahulu.
Sebelum
berangkat ke masjid makanlah dulu. Jangan habiskan semua kurma dalam
bulan Ramadan. Simpan sikit untuk 1 Syawal. Sebuah hadis dari Anas bin
Malik telah menjelaskan bahawa Baginda SAW makan kurma dengan bilangan
yang ganjil (3,5,7 dan sebagainya) sebelum pergi menunaikan solat sunat
Aidilfitri.
12. Sebelum solat bermaaf-maafan dengan keluarga.
Betullah,
tidak ada masa tertentu atau musim yang khusus untuk kita
bermaaf-maafan. Cuma apabila berada pada hari kebesaran Islam ini
eloklah kita gunakan kesempatan tersebut, untuk mengikis perasaan ego
dan takbur diri dengan memaafkan segala kesalahan saudara-saudara kita.
Bukan senang nak jumpa, nak peluk cium dan sebagainya. Kalau nak
bergambar pun, bergambarlah sekeluarga masa ini. Lepas raya dah
berterabur, pakatpakat berjalan belaka.
13. Pergi ke masjid melalui jalan lain dan pulang melalui jalan lain.
Hikmahnya
agar bertemu ramai orang. Maklumlah bukan selalu balik. Rupa pun dah
berubah. Berkenal-kenalanlah kalau berselisih dengan orang.
Tengok-tengoklah jalan kampung yang semak dengan lalang atau jalan
berlubang, jambatan patah dan lain-lain. Jangan tunggu YB. Hulurkan duit
lebih dalam tabung masjid.
14. Lambatkan solat sunat Aidilfitri.
Lambatkanlah
sedikit solat. Pesan kat tok imam yang gilirannya bertugas. Jangan
bertukar dengan solat hari raya korban. Melewatkan solat Aidilfitri
bertujuan memberi masa bagi sesiapa belum mengeluarkan zakat fitrah.
Zakat fitrah wajib dikeluarkan sebelum menunaikan solat Aidilfitri.
15. Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah.
Ditunaikan
sebanyak 2 rakaat. Rakaat pertama ada 7 kali takbir dan rakaat kedua ada
5 kali takbir. Hukum bilangan-bilangan takbir ini adalah sunat bukan
wajib. Jika takbir ini tertambah atau terkurang, solat hari raya tetap
sah.
16. Surah yang dibaca dalam solat
Bagi yang
terlupa, di dalam Sahih Muslim disebutkan bahawa Baginda menunaikan
solat sunat Aidilfitri dengan membaca surah al-’Ala pada rakaat pertama
dan al-Ghasyiah pada rakaat kedua.
17. Solat raya terlebih dahulu diikuti khutbah.
Jangan tertukar. Maklumlah setahun seklai. Ini berdasarkan hadith di dalam Musnad Ahmad daripada Ibn ‘Abbas r’anhuma
18. Dengar Khutbah.
Kemuncak
Hari Raya Aidil Fitri, bukan baju baru, kuih raya, lemang atau ketupat.
Tak ada pun tak mengapa. Kemuncaknya ialah mendengar khutbah. Jangan
jadi macam budak-budak belum habis salam lagi berderau enjin motor
balik. Kadang-kadang bapak budak lebih daripada anak lagi.
19. Solat di
lapangan, terbuka agar mendengar khutbah hinggakan kepada kaum wanita,
tidak kira yang tua atau muda, yang uzur atau sebaliknya. Cuma mereka
yang uzur diarahkan agar berada di luar masjid kerana halangan keuzuran
tersebut seperti riawayat Ummi ‘Atiah dalam Sahih Bukhari dan Muslim.
Selepas Solat
20. Mendoakan orang lain.
Jangan
sekadar ucap Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin sahaja hingga
terlupa ucapan yang lebih bermakna daripada itu. Ucapkanlah tahniah dan
selamat, di samping saling berdoa agar amalan-amalan kita sepanjang
Ramadan lepas diterima Allah. Lafaznya: Taqabbalallahu Minna wa Minkum
Soleh al-’Amal.
21. Bermaaf-maafan dengan yang kenal dengan yang tidak.
Jangan
memilih untuk bersalaman. Bersalm dan bermaaf-maafan dengan semua orang.
Dalam sepotong hadis, Baginda bersabda maksudnya: Harta itu tidak akan
luak atau berkurangan akibat sedekah, dan tidaklah bertambah di sisi
Allah SWT bagi seseorang yang sudi memaafkan, melainkan kemuliaan dan
tidaklah seseorang merendah diri melainkan akan diangkat oleh Allah SWT
(Riwayat Muslim)
22. Ziarah-menziarahi sesama Muslim.
Selepas
solat jangan terus balik. Elok pergi rumah guru-guru dulu. Inilah
sebabnya Baginda SAW mengambil yang lain sewaktu pulang daripada solat
tersebut. Hikmahnya singgahlah dulu rumah sahabat-sahabat dan jiran
tetangga yang ditemui atau diziarahi untuk mengucapkan tahniah atas
kejayaan beroleh kemenangan berpuasa selama sebulan Ramadan.
23. Bersedekah – pemberian duit raya.
Soalnya adakah ia satu keperluan dalam agama atau hanya suatu budaya?
Kalau dah
rajin bagi sedekah sebelum raya dan hari raya pun bagi sedekah itu
ibadah. Andai seumur hidup atau setahun sekali baru bagi sedekah itu
namanya adat. Sedekah itu ibadat bukan adat.
Harus
diingat, sedekah tidak hanya duit raya, kuih raya juga sedekah,
gula-gula juga sedekah untuk anak-anak bagi yang tak mampu. Yang penting
ialah ikhlas dan menghargai kesungguhan mereka berpuasa. Tanyalah dulu
berapa hari puasa. Kalau puasa penuh bagilah RM30 seorang. RM1 sehari.
Ah, cadangan sahaja. Utamakan juga kepada anak-anak, isteri, suami, ibu
bapa dan mertua.
24. Menziarahi Kuburan.
Tak salah
menziarahi kubur. Bukankah ia sunah yang disyariatkan oleh Nabi Muhammad
SAW supaya ingat mati. Dalam sepotong hadis, Baginda menegaskan: Aku
dahulunya pernah melarang kamu semua menziarahi kubur, sekarang
ziarahlah ia, lantaran ia dapat mengingatkan kamu dengan Hari Akhirat.
(Riwayat Muslim)
Isunya
kenapa pagi Hari Raya Aidilfitri? Kalau dah balik awal ke kampung,
ziarahlah awal-awal sikit. Bersihkanlah mana yang patut. Kecuali kalau
‘mobile’, pagi raya tu baru sampai kampung. Petang dah nak balik rumah
mentua-mentua yang lain. Bolehlah tengok sekejap.
Orang bandar
bukan selalu balik kampung kan? Masalahnya orang kampung situ pun
ziarah kubur pada hari raya juga. Itu taklah jadi ibadat, maka ia akan
jadi adat dan taku-takut jatuh khurafat pula.
25. Boleh ke raya pada 1 Syawal sahaja?
Boleh ‘Raya’
sebulan selagi amalan itu tidak bertentangan syariat, cuma dalam Islam
Aidil Fitri hanya 1 Syawal sahaja. 2 Syawal dan hari seterusnya sudah
dibenarkan berpuasa ganti dan sunat. Buatlah puasa sunat enam syawal
cepat-cepat. Dalilnya ialah sabda Nabi SAW ; “Sesiapa berpuasa bulan
Ramadhan, kemudian ia ikuti dengan berpuasa enam hari di bulan syawal,
maka ia seolah-olah berpuasa setahun” (HR Imam Muslim dari Abu Ayyub
al-Ansari r.a.)
Wallahu
‘A’lam. Tips-tips ini boleh dicabar kewibawaannya dan boleh
dibincang-bincangkan lagi. Moga boleh jadi rujukan. – al-Kurauwi
Seja o primeiro a comentar
Post a Comment